Wednesday, 22 June 2011

6. kEistimEwaAn BULAN REJAB


Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya,
Sya'aban dengan malam NISFUnya
Ramadhan dengan LAILATUL-QADARnya.
Malam awal Rejab mustajab do'anya.

REJAB bulan menabur benih.
SYA'ABAN bulan menyiram tanaman.
RAMADHAN bulan menuai.

REJAB menyucikan badannya.
SYA'ABAN menyucikan hatinya.
RAMADHAN menyucikan rohnya.

REJAB bulan taubat.
SYA'ABAN bulan muhibbah.
RAMADHAN dilimpahi pahala amalan.



Rejab datang kembali menemui umat Islam. Bulan ketujuh dalam kalendar Islam ini mempunyai keistimewaan tersendiri sebagaimana yang dijanjikan Allah seperti yang terkandung dalam al-Quran. Rejab mempunyai empat makna iaitu takzim (kebesaran, keagungan dan kemuliaan), rahmah (bulan yang penuh dengan rahmat Allah), Jud'un (pemurah) dan Birr'un (kebajikan).

Bulan Rejab adalah salah satu bulan yang mulia dan banyak kelebihannya. Nabi Muhammad saw dalam satu hadis menyatakan bahawa Rejab itu bulan Allah. Sabda baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku dan Ramadan adalah bulan umatku".

Dalam bulan ini juga mencatatkan sejarah penting bagi kehidupan umat Islam kerana dalam bulan ini mengandungi peristiwa Isra' dan Mikraj Junjungan Nabi Besar kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam satu peristiwa yang kita telah maklum keagungannya. Umat Islam digalakkan untuk beribadat sebanyak mungkin pada bulan Rejab ini kerana pada bulan ini Allah Subhanahu Wataala banyak memberikan pahala kepada mereka yang mengerjakan ibadat di dalamnya.


Di antara amalan-amalan yang digalakkan ke atas orang-orang Islam untuk mengerjakannya pada bulan Rejab ini ialah :


Pertama: Membaca Salawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Umat Islam memang digalakkan untuk membanyakkan membaca salawat pada bila-bila masa terutama pada ketika pahalanya dilipat gandakan di dalamnya seperti pada bulan Rejab kerana membaca salawat sangat besar pahalanya.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Antara mafhumnya:" Barangsiapa yang membaca salawat untuk Ku satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus kali.  Dan barang siapa yang bersalawat kepada Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka.  Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid". [Riwayat At-tabrani].

Kedua: Bertaubat.
Kita digalakkan untuk memperbanyakkan bertaubat pada bulan Rejab kerana bulan ini adalah bulan pengampunan.

Ketiga:  Berpuasa.
Kita Umat Islam digalakkan untuk banyak berpuasa  pada bulan Rejab. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi.Maksudnya: "Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat sebuah sungai yang disebutkan sungai Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa yang berpuasa satu hari pada bulan Rejab, Allah akan memberinya minum dari sungai itu".

* Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga tertinggi (Firdaus).
* Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya.
* Puasa tiga hari pada bulan Rejab dijadikan parit yang panjang, yang menghalangkan dia ke neraka (panjangnya setahun perjalanan).
* Puasa empat hari pada bulan Rejab diafiatkan daripada bala dan daripada penyakit yang besar-besar dan daripada fitnah Dajal di hari kiamat.
*Puasa lima hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur.
* Puasa enam hari pada bulan Rejab, keluar dari kubur dengan muka bercahaya.
* Puasa tujuh hari pada bulan Rejab, ditutup daripada tujuh pintu neraka.
* Puasa lapan hari pada bulan Rejab, dibuka baginya lapan pintu syurga.
* Puasa sembilan hari pada bulan Rejab keluar dari kuburnya lalu, MENGUCAP DUA KALIMAH SHAHADAH dan tidak ditolak dia dari masuk syurga.
* Puasa 10 hari pada bulan Rejab Allah jadikan baginya hamparan perhentian di Titi Sirotolmustaqim pada tiap-tiap satu batu di hari kiamat.
* Puasa 16 belas hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.
* Puasa 19 belas hari pada bulan Rejab, dibina baginya sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim a.s dan Nabi Allah Adam a.s.
* Puasa 20 hari pada bulan Rejab, diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Maka mulailah beramal barang yang tinggi daripada umurnya (pembaharuan umur).

Berkata Saidina Ali r.a :
* Puasa Rejab 13 hari seperti puasa tiga ribu tahun.
* Puasa Rejab 14 hari seperti puasa sepuluh ribu tahun.
* Puasa Rejab 15 hari seperti puasa seratus ribu tahun.


Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Puasa Bulan Rejab wajib baginya:

* Diampunkan dosanya yang lalu.
* Dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
* Terlepas dari dahaga di hari kiamat.

Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti.

Sesiapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu kejahatan.

Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, Bulan Allah.Allah jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan Malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada Umat Muhammad. Allah menjawap: Telah aku ampunkan mereka!

Barangsiapa meminta ampun (bersitighfar) kepada Allah pagi danpetang 70 kali atau 100 kali, pada bulan Rejab di haramkan tubuhnya daripada api neraka.

Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah swt berseru kepadanya:

"Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demi ketinggian Ku dan KebesaranKu, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiranKu dibawah `arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu, engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu denganmu".(dari kitab Raudatul Ifkar)

Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari ISRAK-MIKRAJ.

Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus.
Keempat:  Berdoa.

Apabila berada di bulan Rejab, kita berharap agar sampai pula pada bulan Syaaban dan bulan Ramadhan.  Bulan Ramadhan bulan yang dinanti-nanti oleh setiap orang Islam yang sentiasa merindui pahala besar.
Selain daripada itu banyak lagi ibadat-ibadat lain yang mempunyai banyak kelebihan untuk kita amalkan di bulan ini seperti bersedekah dan melakukan amal jariah yang lain.




No comments:

Post a Comment